Tuesday, October 27, 2009

Aku MIMPI lagi... !

Berhenti mentafsir mimpi, kerna mimpi cuma mimpi.

Berat kepala, kerna "MIMPI" bukan lagi mimpi. "MIMPI" dah jadi nyata. Lagi bertambah berat bila yang nyata itu betul-betul di depan mata.


Mimpi BERAT dari PARADOKS.


Aloy Paradoks.

Pembukaan dari Paradoks.

Shah Jamat.

Shoffi Jikan.

Salina. Sepatutnya Siela kan Kimi?

Smugglers.

Fasyali Fadzli.

Kak Dib, Mamai, Pentoi, Cendana dan Jamee.

Bloggers. Kalian sangat best!

Bloggers. Ada masa jumpa lagi =)

Pakatan Radikal Orang Kepala Seni (PARADOKS) bersama adik Hakeem.

Pungguk yang selalu rindukan bulan, tapi kuman yang sampai dulu?

Ok ini saja interframe. Aku sangat suka. Kredit untuk Pentoi.

Sekalung tahniah buat PARADOKS untuk malam MIMPI yang hebat. Terus berkarya dan moga kalian mampu menghasilkan yang lebih bagus.

P/s : Ini entri tertunggak. Mimpi BERAT dari PARADOKS berlangsung pada 18 Oktober 2009 bertempat di Galeri Shah Alam.

Tuesday, October 20, 2009

Kalau aku.

Kalau aku bodoh,
Sua aku dengan petunjuk moga aku selalu penuh dengan ilmu.

Kalau aku lemah,
Beri semangat Hang Tuah moga aku terus kuat untuk dunia.

Kalau aku berdosa,
Doakan aku dengan kalimah Dia moga aku terus dekat dengan syurga.

UPDATE : Perkataan "wahyu" aku tukar dengan "petunjuk" kerna wahyu itu terlalu besar maksudnya, dan perkataan wahyu cuma untuk para rasul dan nabi tapi bukan untuk kita manusia. Maaf atas kesilapan yang berlaku dan terima kasih buat seorang sahabat yang menegur.

Monday, October 12, 2009

Pungguk

Pungguk masih terus terbang. Tapi bulan tetap jauh. Dan pungguk mula yakin yang bulan takkan mampu pungguk sentuh. Tapi bulan pernah janji untuk terus ada. Untuk terus bersahabat dengan bintang. Untuk terus temani gelap malam. Untuk selalu ada buat pungguk. Bukan untuk pungguk gapai. Tapi cuma berkongsi cahaya bulan.

Sungguhlah pungguk tetap pungguk yang selalu rindukan bulan!

Saturday, October 03, 2009

Biar yang bahagia terus milik dia.

Dengus nafas itu terus menghembus.
Dada tua itu juga masih berombak lembut.
Tapi kelopak yang dua terus rapat.
Sesekali kacanya merenung lemah.
Sayu...

Tuhan, jangan ambil dia dari aku.
Kerna aku belum sedia untuk hilang siapa-siapa.

Kalau aku mampu, biar seksa itu aku yang rasa.
Biar yang bahagia terus milik dia.

Wednesday, September 16, 2009

Pesan buat sahabat

Fiq,
Kenapa perlu kau buang cinta kalau itu yang kau cari?
Kenapa perlu kau campak sayang kalau itu yang kau mahu?
Kenapa perlu kau nafi rindu kalau itu yang kau damba?

Perasaan itu tak perlu kau hilangkan cuma kerana mahu menjaga hati, kawan.
Kadang-kadang kau perlu pentingkan diri untuk sesuatu yang kau sendiri perlukan.

Aku betul-betul harap kau baca yang ini. Titik.

Wednesday, September 09, 2009

Ulangtahun : Satu

"Kamu tahu apa itu ulangtahun?", tanya Sipah ingin tahu.
"Anniversary!", jawab Sapi sikit mendongak. Eksyen.

Ya. Beberapa hari lepas merupakan ulangtahun pertama aku menulis blog. Ulangtahun pertama aku mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan maya. Ulangtahun pertama aku bergelar "Blogger".

Buat kalian : Terima kasih kerana terus membaca. Terima kasih untuk jejak yang kalian tinggalkan. Terima kasih untuk sokongan dan dorongan dari kalian yang sering membuatkan aku mahu terus berkarya (kalau layak dipanggil karya). Terima kasih untuk tunjuk ajar dan pendapat kalian yang selalu membuatkan aku belajar dan faham tentang hidup. Terima kasih atas setiap kritikan dan cemuhan (buat segelintir) kalian yang selalu membuatkan aku mahu menjadi yang lebih baik. Terima kasih untuk kepercayaan dan nasihat kalian yang selalu menjadikan aku manusia yang sedar tentang rasa hormat dan dihargai. Terima kasih!

Juga terima kasih yang tak terhingga buat seorang sahabat yang mula-mula dulu meyakinkan aku bahawa aku mampu dan boleh menulis.

Doakan aku terus menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dan lebih baik!

Terima kasih.
Thank You.
Shukron.

Friday, September 04, 2009

Tiga cinta


Selamat hari lahir Yong, 28 Ogos 2009.
Kamu kakak paling hebat. Dan Addy akan selalu doa untuk kebahagiaan kamu kelak. Dan sampai mati kamu akan kekal dalam hati Addy.



Selamat hari lahir Syida, 04 Sept 2009.
Moga terus menjadi manusia. Dan terima kasih untuk segala yang pernah kita kongsi bersama. Sayang Addy takkan mampu Addy ucap cuma dengan kata-kata.



Selamat hari lahir Huda, 11 Sept 2009.
Belajar rajin-rajin. Harapan Addy pada kamu terlalu tinggi. Dan Addy harap Addy takkan kecewa untuk yang itu.


Kasih,
Moga langsung takkan pernah padam.
Sayang,
Moga langsung takkan pernah hilang.
Rindu,
Moga langsung takkan pernah jemu.
Cinta,
Moga langsung takkan pernah mati.

Tuesday, September 01, 2009

Hujan, datanglah !

Hujan kian lebat.
Malam makin pekat.
Mata hampir lena.
Mula kira titis manik berkaca yang menyembah bumi itu.
Asyik.

Thursday, August 27, 2009

Pesan aku pada malam.

Malam, tambat aku dalam tidur.
Agar lena terus panjang.

Tidur, sembunyi aku dalam mimpi.
Agar cinta terus indah.

Mimpi, kejut aku dalam bahagia.
Agar hidup terus ke syurga.

Bahagia, kekallah!



NotaAddy : Ada aku cakap yang aku pindah lagi? Ya, aku pindah lagi.

Saturday, August 22, 2009

Tak selalu kita dapat apa yang kita suka, mungkin kadang-kadang kita perlu suka apa yang kita dapat!

Manusia itu adalah sebaik-baik kejadian. Kejadian tuhan yang lengkap dengan akal dan fikiran yang waras. Tapi manusia itu tidaklah sempurna. Malah takkan sempurna. Langsung. Sampai bila-bila. Sempurna itu bukan untuk manusia. Yang sempurna itu cumalah Dia yang maha Esa.

Untuk menerima sesuatu yang bukan pilihan, bukanlah sesuatu yang mudah. Bukan semudah menyuap nasi ke mulut, kunyah dan telan. Tak semudah lelapkan mata, tidur dan bermimpi yang indah-indah. Yang satu ini perlukan kekuatan. Perlukan pengorbanan yang maha besar. Perlukan hati yang betul-betul ampuh dan mampu buang jauh-jauh airmata yang mungkin jatuh.

Tak selalu kita dapat apa yang kita suka, mungkin kadang-kadang kita perlu suka apa yang kita dapat. Menurut seorang teman, "Kadang-kadang tuhan tak beri perkara yang kita suka, tapi Dia beri perkara yang kita perlu!". Sungguh aku mula yakin yang itu!

Hidup akan selalu punya pilihan. Memilih samada untuk hanya terima yang tersurat tanpa berbuat apa-apa atau terima dan cuba berusaha dan berubah menjadi yang lebih baik. Moga kita mampu membuat pilihan yang terbaik.

Salam Ramadhan Al-Mubarak. Moga kita sama-sama mampu peroleh sesuatu yang lebih baik di masa depan kelak, Insyaallah!

NotaAddy : Aku diserang kesibukan yang melampau. Yang buat aku hampir tak mampu bernafas. Yang buat aku hampir jatuh tumbang menyembah bumi. Yang buat aku hampir lupa dunia yang ini. Maksud aku dunia maya yang mendekatkan aku dengan kalian. Tapi sungguh kalian lekat terus dalam hati aku yang makin beku ini.